5c97d641b2394fde3b4cfb15218c6c81d79cad23 Contoh Merangka Karangan SPM ~ Karangan Bahasa Melayu SPM

Wednesday, July 31, 2013


Tajuk : Amalan Berjimat-cermat Mendatangkan Pelbagai Manfaat Kepada Sesebuah Negara. Huraikan Kepentingan-Kepentingan dan Langkah-Langkah Amalan Berjimat-cermat.

Pendahuluan:

Istilah berjimat-cermat sering diuar-uarkan oleh pihak kerajaan pada zaman muasir ini. Adakah masyarakat Malaysia tidak tahu berjimat-cermat? Sebenarnya berjimat-cermat merupakan istilah keramat yang memacu kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara.Tanpa amalan tersebut maka tidak mustahilah negara akan terdedah kepada krisis ekonomi,maka mundurlah ekonomi negara tersebut. Dalam konteks ini, semua individu dalam sebuah negara memainkan peranan penting dalam mengamalkan amalan berjimat-cermat.Terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada amalan itu.

Isi 1: Persediaan dan Jaminan Masa Hadapan.

Apakah kepentingan amalan berjimat-cermat?

Amalan berjimat-cermat membolehkan individu merancang masa depan mereka.

Mengapakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?

Hal ini perlu dilakukan oleh semua orang bak kata pepatah “beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”kerana kita tidak menduga sesuatu perkara yang akan berlakupada masa hadapan.

Bagaimanakah amalan ini perlu dilakukan?

Golongan masyarakat terutamanya ibu bapa perlu mengamalkan sikap berjimat-cermat terutamanya dalam aspek kewangan kerana “sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit”dan “sehari selembar benang lama-lama menjadi kain”. Hal ini akan dapat membantu mereka membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anak apabila melanjutkan pelajaran ke menara gading. Masyarakat terutamanya generasi muda perlu merancang perbelanjaan mereka agar tidak berdepan dengan masalah apabila menempuh usia emas kelak. Kebanyakan warga emas menghadapi masalah kerana mereka gagal merancang kewangan ketika usia muda. Hal ini perlu dielakkan supaya tidak seperti pepatah “sudah terhantuk baru tengadah”.

Contoh

Sebagai contoh, apabila anak-anak berjaya melanjutkan pelajaran, ibu bapa akan memerlukan kos yang banyak.Sekiranya ibu bapa mempunyai wang simpanan, mereka tidak menghadapi apa-apa masalah, sebaliknya jika ibu bapa tidak mempunyai wang simpanan, mereka akan tertekan dengan kemelut kewangan sekali gus akan mengharapkan biasiswa dan pinjaman daripada pihak kerajaan.

Rumusan isi

Oleh itu, kita janganlah menjadi masyarakat yangn sentiasa mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan dan melahirkan bangsa yang sentiasa bertongkat. Oleh hal yang demikian, amalan berjimat-cermat ini dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan keluarga yang bahagia kerana tidak mengalami sebarang tekanan kewangan kerana mempunyai wang simpanan mereka sendiri.

Isi 2 : Persediaan Menghadapi Waktu Kecemasan.

Apakah kepentingan amalan berjimat-cermat?.

“Malang tidak berbau”. Peribahasa ini sangat sinonim dengan fitrah kehidupan manusia. Tiada sesiapapun yang mengetahui akan musibah yang bakal dihadapi pada masa akan datang.Sejajar dengan itu, amalan berjimat-cermat boleh membantu masyarakat sebagai suatu persediaan apabila menghadapi waktu kecemasan seperti perbelanjaan merawat pembedahan, kemalangan dan penyakit kronik yang dialami oleh diri sendiri, ibu bapa atau kaum keluarga.

Mengapakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?

Sehubungan dengan itu, melalui amalan berjimat-cermat, kita tidak perlu “mengemis” di merata-rata tempat apabila memerlukan rawatan kesihatan. Langkah berjimat-cermat ini sangat penting kepada masyarakat sebagai satu persediaan jika berlaku sesuatu kecemasan kerana manusia hanya merancang sedangkan Tuhan yang menentukan.

Bagaimanakah amalan ini penting kepada seseorang?

Hal ini disebabkan kos rawatan yang tinggi dan biasanya tidak mampu dibiayai oleh pesakit terutamanya apabila melibatkan pembedahan dan penyakit kronik yang memerlukan perbelanjaan beratus-ratus ribu ringgit. Kos rawatan yang terlalu tinggi ini tentulah membebankan pesakit tersebut.

Contoh.

Apabila seseorang dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit kronik seperti kanser, rawatan pembedahan melibatkan perbelanjaan berjumlah beratus-ratus ribu ringgit. Kegagalan pesakit menyediakan sejumlah wang yang besar ini boleh menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan yang sewajarnya dan akan berakhir dengan kematian.

Rumusan isi.

Rumusannya, langkah berjimat-cermat ini sangat penting kepada masyarakat sebagai satu persediaan menghadapi waktu kecemasan agar rawatan segera dapat menyelamatkan nyawa pesakit.

Isi 3 : Kestabilan Ekonomi Negara.

Apakah kepentingan amalan berjimat-cermat?

Salah satu faedah berjimat-cermat ialah ekonomi negara dapat distabilkan.

Mengapakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?

Tanpa kestabilan ekonomi negara, sesebuah negara tidak dapat dibangunkan atau dimajukan. Komitmen seseorang amatlah diharapkan bagi membangunkan ekonomi Negara.

Bagaimanakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?

Seseorang itu dapat berjimat cermat dengan cara membeli barangan buatan tempatan atau melancong dalam negara mereka sendiri. Apabila seseorang itu membeli barangan buatan tempatan, hal ini akan mengelakkan pengaliran wang keluar wang dan menggalakkan wang beredar dalam negara. Jika kita membeli barangan buatan tempatan dan bukannya barangan import, wang yang kita bayar atau belanjakan itu akan diterima oleh pengeluar tempatan dan wang tersebut boleh mengalirdalam negara.

Contoh

Maka pendapatan yang ada, negara akan dapat membiayai pelbagai projek yang mendatangkan keuntungan, lebih-lebih lagi ketika kegawatan ekonomi. Negara juga tidaklah perlu memuat pinjaman kewangan dari Bank Dunia justeru, maruah negara dapat diselamatkan. Oleh yang demikian itu, kegiatan ekonomi tempatan dapat dihidupkan secara lebih aktif dan efektif. Impaknya, ekonomi menjadi lebih mampan.Seseorang individu atau masyarakat turut dapat membantu kestabilan ekonomi negara dengan mengamalkan pelancongan domestik. Mereka digalakkan melancong dalam negara mereka sendiri seperti peribahasa “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri” Apabila hal ini berlaku, maka secara tidak langsung mereka telah memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi. Ekonomi negara akan menjadi lebih teguh dan mantap. Wang yang dibelanjakan akan diterima oleh pengusaha tempatan dan hal ini bermakna wang itu seterusnya akan beredar dalam kalangan rakyat tempatan.

Rumusan isi

Oleh itu, jelaslah bahawa sikap berjimat-cermat merupakan salah satu punca yang menyumbang ke arah kekukuhan ekonomi negara. Sejajar dengan itu, marilah kita bersama-sama mengamalkan amalan yang terpuji itu.

Langkah-Langkah Amalan Berjimat-cermat

Isi 4: Peranan ibu bapa

Apakah peranan ibu bapa untuk memupuk amalan berjimat -cermat.?

Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengamalkan tabiat suka berjimat-cermat,sebagaimana pepatah Melayu ada menyebut “ bagaimana acuan begitulah kuihnya”.

Mengapakah ibu bapa perlu menunjukkan sikap berhemah ketika berbelanja?

Ibu bapa menunjukkan sikap bijak dan berhemah apabila berbelanja dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak sama juga seperti peribahasa “bapa borek anak rintik”.

Bagaimanakah ibu bapa boleh memupuk amalan berjimat-cermat?

Antara langkah permulaan yang boleh dilakukan ialah menggalakkan anak-anak membawa bekal makanan ke sekolah.Dalam hal ini, anak-anak mereka bukan sahaja ditanam minat suka menabung dan berjimat-cermat tetapi juga membawa bekalan makanan seimbang yang disediakan oleh ibu dari segi khasiatnya malah terjamin kebersihannya. Tidak timbul lagi masalah keracunan makanan yang sering dihadapi oleh pelajar seandainya mereka makan makanan di kantin sekolah atau yang dibeli di luar.

Contoh

Sebenarnya, penabungan wang belanja yang diberi oleh ibu bapa dapat digunakan untuk membeli barang keperluan yang berfaedah seperti barangan peribadi ataupun buku-buku rujukan.Hal ini, sebagai serampang dua mata, selain berjimat-cermat, pada masa yang sama dapat merasai air tangan ibu dan boleh mengeratkan kasih sayang ibu dan anak.

Rumusan isi.

Kesimpulannya, membawa bekalan makanan dari rumah ini perlu dijadikan satu budaya yang patut diamalkan oleh setiap pelajar.

Isi 5: Peranan kerajaan dan rakyat

Apakah peranan kerajaan dan rakyat dalam usaha menggalakkan sikap berjimat-cermat?

Salah satu langkah untuk menggalakkan sikap berjimat-cermat, kerajaan perlu menyeru rakyat agar membuat pelaburan pendidikan untuk anak-anak.

Mengapakah pelaburan pendidikan ini amat berguna kepada ibu bapa dan anak-anak?

Pelaburan pendidikan ini amat berguna kerana para ibu bapa dapat mempersiapkan diri awal-awal lagi untuk membiayai pendidikan anak-anak agar tidak perlu berhadapan dengan masalah kewangan ketika sampai masanya anak-anak memasuki institusi pendidikan. Janganlah nanti anak-anak terpaksa mengalah untuk tidak menyambung pelajaran disebabkan masalah kewangan.

Bagaimanakah caranya ibu bapa boleh melabur dalam skim pelaburan pendidikan?

Para ibu bapa boleh memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk membuat simpanan dalam skim pelaburan pendidikan.

Contoh

Pada hari ini, banyak syarikat insuran, umpamanya Malaysian National Insurance (MNI), Malayan Alliance Assurance (MAA), Insuran Takaful dan Takaful Nasional serta bank-bank perdagangan lain yang menawarkan pelan pendidikan untuk meringankan beban ibu bapa bagi menampung pembiayaan pendidikan anak-anak pada masa depan. Amalan ini sesuai dengan peribahasa Melayu yang berbunyi “ sediakan payung sebelum hujan”.

Rumusan isi.

Sesungguhnya, kita tidak boleh mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata kerana kita perlu berusaha sendiri untuk menempa kejayaan anak-anak. Pelaburan awal ini dapat menjamin penerusan kegemilangan generasi cemerlang.

Isi 6: Peranan golongan wanita

Apakah peranan golongan wanita dalam amalan berjimat-cermat?

Kajian menunjukkan bahawa golongan wanita memainkan peranan penting dalam mencorak perbelanjaan keluarga.

Mengapakah wanita perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang ekonomi?

Bagi golongan wanita yang celik ekonomi,mereka akan sentiasa peka dan mengambil berat tentang wang yang dibelanjakan.

Bagaimanakah golongan wanita boleh menstabilkan ekonomi rumahtangga?

Oleh itu, untuk memastikan ekonomi dalam rumahtangga mereka sentiasa stabil, wanita yang bergelar suri rumah harus bertindak dengan bijaksana serta teliti ketika berbelanja. Suri rumah perlu mengikis sikap terburu-buru semasa membuat pilihan kerana hal ini akan merugikan diri.

Contoh

Sebagai contoh, mungkin mereka terpaksa membeli barangan yang tidak perlu atau tidak berkualiti hanya kerana tertarik dengan iklan-iklan jualan murah yang “indah khabar daripada rupa”. Selain itu, sekiranya mereka ada masa terluang, suri rumah ini juga boleh menyahut seruan kerajaan agar berjimat-cermat melalui penanaman sayur-sayuran atau memelihara ayam itik di belakang rumah. Kebaikannya memang ketara iaitu di samping dapat menghidangkan sayur-sayuran yang segar untuk keluarga, mereka juga dapat membantu suami mengurangkan perbelanjaan rumahtangga. Pada masa yang sama, kempen yang dilancarkan oleh kerajaan agar membeli barangan buatan tempatan perlu dimanfaatkan oleh golongan wanita. Jika selama ini mereka terlalu taksub dengan barang-barang buatan luar negara yang kononnya berkualiti tinggi,kini mereka boleh beralih arah dengan barang-barang buatan tempatan yang tidak kurang hebatnya. Selain murah, barang-barang ini juga mempunyai kualiti yang lebih baik.

Rumusan isi

Oleh itu, di samping berjimat cermat, suri rumah juga dapat membantu menjana ekonomi negara.

Penutup

Konklusinya, amalan berjimat-cermat perlu diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat agar hasrat murni kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi akan tercapai.Sesungguhnya, amalan berjimat-cermat dapat meloloskan diri daripada belenggu inflasi yang melanda negara. Secara tidak langsung, hal ini akan melahirkan warga negara yang bijak dan berhemah dalam mengurus ekonomi keluarga,masyarakat dan negara.Maka, sekiranya kita sayang akan keluarga dan negara daripada dibebani kebejatan ekonomi,kita perlu menggembleng tenaga dalam mengamalkan budaya berjimat-cermat. Akhir kalam, “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.

sumber dipetik daripada : CONTOH KARANGAN BERJIMAT CERMAT


3 comments:

  1. memang ok karangan ini. Tetapi terdapat fakta yang kurang tepat. Tamsilnya, pengarang menyatakan kita akan tertekan dengan kemelut kewangan sekali gus akan mengharapkan biasiswa daripada pihak kerajaan. Dalam konteks biasiswa, adakah ia diberikan kepada semua rakyat? Proses pemilihan penerima biasiswa pula kurang transparent! Adakah pelajar cemerlang dari golongan berpendapatan rendah tidak layak mendapat biasiswa? Jika statement di atas adalah benar, maka MARA perlu dihapuskan kerana objektif MARA ialah membantu golongan BUMIPUTERA yang miskin dan tidak berapa cemerlang dalam akademik!
    Saya tidak bermakna untuk mengeji ataupun sentuh isu sensitif di sini.

    Pelajar yang menuntut di UCL(UK) yang tidak mendapat biasiswa kerajaan tetapi biasiswa UK.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wilson Chong Ka SingOctober 25, 2015 at 3:11 AM

      that's so true! I was a SPM graduate who score 9A+ and 2A. 4A* in Cambridge A levels. Getting offers from NUS, NTU, ICL, Glasgow School of Medicine, Edinburgh School of Medicine, Cardiff University, UCD and TCD to study medicine. When I applied to JPA, they rejected my offer although I applied twice. Even UM, USM, UKM do not accept me into their medicine programme. What a joke! Please don't feel bad if you doesn't get any scholarship from the government. Just try the other country and you might get one. I am now working in New Zealand as a chest physician.

      Delete

Followers

Kongsi Artikel

Contoh-contoh Karangan Bahasa Melayu SPM, Contoh Karangan Bahasa Melayu SPM Bahagian A dan Bahagian B.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

OWR NEWSLETTER

Contact Form

Name

Email *

Message *

Liked FB page kami

Follow Kami di G+

Follow Kami di Twitter

Google+ Followers

Popular Posts

Busuk News

5c97d641b2394fde3b4cfb15218c6c81d79cad23