Karangan Bahasa Melayu SPM Kertas 1 - Semangat Patriotisme Perlu Ada Dalam Diri Genarasi Hari Ini



Semangat patriotisme perlu ada dalam diri genarasi pada hari ini kerana mereka bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Huraikan langkah-langkah yang wajar dilakukan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam diri anda.

        Zaman beralih, musim bertukar. Setelah tamat penjajahan negara kita selama 446 tahun, kita dapat menghela nafas kemerdekaan. Waima begitu, kemerdekaan yang kita kecapi akan lenyap ditelan zaman sekiranya kita tidak mempunyai semangat patriotik. Abraham Lincoln pernah menukilkan kata-kata mutiara, "Semangat patriotisme merupakan asas pembentukan sebuah negara." Sebagai anak watan yang bakal menerajui pucuk kepimpinan negara, terdapat beberapa langkah yang perlu saya lakukan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam diri saya.

        Antara langkah yang paling utama yang akan saya lakukan ialah dengan melibatkan diri dalam setiap kempen, program dan aktiviti berkaitan dengan patriotisme yang dianjurkan oleh pihak kerajaan. Antaranya saya akan menyertai Program Khidmat Latihan Negara (PLKN) yang bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Melalui Modul Kenegaraan iaitu sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan dan meningkatkan perasaan cinta serta pengorbanan para peserta program kepada negara. Melalui latihan dalam kumpulan, jurulatih memimpin kumpulan untuk mempelajari tentang kenegaraan yang merangkumi tanah air, rakyat, kerajaan, kedaulatan dan cabaran-cabaran dalam dan luar negara. Melalui elemen Tanah Air, peserta akan dibantu membina serta memupuk rasa sayang kepada tanah air dan sanggup mempertahankannya. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi semangat patriotisme dalam diri saya dan lain-lain peserta serta sanggup "berjuang hingga ketitisan darah yang terakhir" demi mempertahankan kedaulatan negara.

        Sebagai seorang remaja yang lahir di era pascamerdeka , saya perlu mempelajari sejarah terutama sejarah perjuangan orang-orang terdahulu yang mengalami jerit perih perjuangan untuk memerdekakan negara. Geroge Santayana, seorang sejarahwan termasyhur pernah menukilkan, "Sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya". Hatta saya akan mendalami sejarah negara untuk menerapkan perasaan cinta dan sayang tidak berbelah bagi terhadap tanah air tercinta. Melalui sejarah, saya dapat mengetahui betapa peritnya para nasionalis memperjuangkan hak dan kedaulatan negara tercinta. Sejak tahun 1400 masehi, Parameswara telah mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka dan legasi baginda diteruskan sehinggalah Melaka di jajah oleh kuasa imperialis selama 446 tahun. Namun dengan semangat yang kental dan iltizam yang tinggi, perajurit tanah air bersabung nyawa demi mengembalikan kemerdekaan negara. Oleh itu, melalui sejarah saya dapat mengumpul informasi mengenai latar belakang negara Malaysia serta tokoh-tokoh pejuang negara. Saya tentunya tidak rela membiarkan kemerdekaan negara yang telah kita kecapi selama ini tergadai kerana kelunturan semangat patriotisme. Maka, keteguhan hati saya untuk mempertahankan negara akan bertambah utuh dengan pengetahuan sejarah yang begitu kimah nilainya .

        Sebagai anak watan yang bersemangat waja dan begitu sayangkan negara tercinta, saya akan pastikan untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang jatuh pada tanggal 31 Ogos dan Hari Malaysia yang jatuhnya pada tanggal 16 September setiap tahun. Melalui sambutan Hari Kemerdekaan saya berpeluang mengibarkan Jalur Gemilang yang merupakan lambang identiti negara dan dengan megah akan melaungkan kata-kata keramat 'Merdeka' bersama-sama rakyat Malaysia yang lain. Pengalaman tersebut dapat memupuk rasa cinta akan negara dan seterusnya meningkatkan semangat patriotisme, sepertimana ungkapan Francis Bacan, "tiada pengalaman kita tidak akan tahu sesuatu yang baru".
     
        Sebagai sebuah negara merdeka, Malaysia juga memiliki kedaulatan tersendiri. Ia dilambangkan dalam pelbagai bentuk interaksi simbolik. Bendera negara, umpamanya adalah simbol kepada kewujudan dan kedaulatan sesebuah negara. Maka, mengibarkan bendera sebagai menzahirkan rasa cinta dan syukur menjadi warga sesebuah negara adalah satu tingkah laku mulia. Begitu juga dalam soal penghormatan terhadap Malaysia menerusi lagu kebangsaan Negaraku. Berdiri tegap ketika lagu Negaraku dinyanyikan adalah satu bentuk penghormatan fizikal yang senang diukur tetapi sejauh mana ia dihayati sebagai simbol kebesaran negara adalah amat sukar dikenal pasti. Sehubungan itu, saya akan berdiri tegak, dan turut menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat. Pada realitinya, lirik lagu kebangsaan membawa makna yang cukup signifikan sehingga mampu membarakan api perjuangan yang berkobar-kobar dalam sukma sejagat. Sebagai anak watan, saya perlu menghormati lambang-lambang kebesaran negara dan sedia berkorban apa sahaja untuk mempertahankannya.

        Izharnya, generasi mudakini memikul obligasi yang cukup signifikan dalam menentukan masa depan tanah air. Kita tidak boleh menongkat dagu dan menanti yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang. Saya perlu berpaksikan tarbiah kimah dan karakter madani serta berpegang teguh pada intergriti. Kredebiliti saya tidak akan bergoyang walaupun terpaksa mengharungi pelbagai dugaan. Sehubungan itu, bersama-samalah kita memupuk semangat patriotisme dalam lubuk kalbu masing-masing untuk mempertahankan kedaulatan negara sebelum ianya diruntuhkan oleh tangan-tangan jahat yang sanggup berbuat apa sahaja demi merealisasikan impian kotor mereka. Bersamalah kita hayati tema Hari Kemerdekaan yang ke 56 iaitu "Negera Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku".

Dipetik dari pertandingan essei sempena Hari Kemerdekaan SMKTM


Post a Comment

9 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad