5c97d641b2394fde3b4cfb15218c6c81d79cad23 Contoh Karangan - Kesan-kesan Kenaikan Harga Minyak dan Langkah-langgkah Mengatasinya ~ Karangan Bahasa Melayu SPM

Tuesday, September 3, 2013


Oleh: Muhammad Amir
Tingkatan 4 PA1

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan kenaikan harga petrol Ron 95 dan Disel sebanyak 20 sen. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka khususnya yang berpendapatan rendah. Kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barang keperluan berlaku. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini bak kata pepatah, “ingat sebelum kena jimat sebelum habis".

Kenaikan harga minyak telah memberikan kesan kepada semua orang serta menyebabkan kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini berlaku kerana kuasa beli mereka semakin berkurangan dan pendapatan mereka menjadi semakin berkurangan. Contohnya, barang-barang keperluan harian dijangka meningkat antara 10 hingga 20 berbanding harga yang sebelumnya. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini hanya cukup untuk makan. Oleh itu, masyarakat perlu berbelanja dengan bijak dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.

Kesan sosio-ekonomi sememangnya teruk seperti yang pernah kita saksikan dan alami sebelum ini. Kegiatan mengambil untung berleluasa dan pengguna menjadi mangsa eksploitasi peniaga. Peniaga menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Pihak yang tidak mahu memikul beban kenaikan akan memindahkan lebihan kos kepada pihak lain, sama ada pembekal atau peruncit dan mangsanya ialah pengguna. Selain itu, terdapat juga peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang. Sikap tidak bertanggungjawab ini mambawa kesan negatif kepada sosio-ekonomi dan menyekat kemajuan ekonomi negara. Dalam hal ini peranan orang tengah perlu dipantau kerana selama ini mereka yang menentukan harga dan bekalan barang yang dijual di pasaran. Orang tengah berada dalam kedudukan selesa kerana mereka menjana keuntungan besar daripada pihak pengeluar dan pihak pengguna.  Pengistiharan tahun 2014 sebagai tahun 'perang jihad' oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap penguasaan orang tengah  yang selama ini mengaut keuntungan berlebihan amat dialu-alukan. Pengurangan peranan orang tengah akan membolehkan harga barang dipasarkan dengan harga jauh lebih rendah yang akan memberi manafaat kepada pengeluar dan juga pengguna.

Peningkatan harga minyak yang tinggi tersebut akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang, terutama harga barang makanan. Bahan makanan, sama ada dalam bentuk mentah, separa proses atau siap diproses perlu diangkut dari tempat pengeluaran atau pemprosesan kepada tempat pemasaran. Kenaikan kos pengangkutan dan kos pemprosesan sudah tentu akan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang akhir barang yang diangkut. Kerajaan boleh campur tangan dengan mengumumkan Dasar Kawalan Harga barangan tetapi dari segi ekonomi, dasar campur tangan tersebut akan membawa kepada herotan ekonomi dan memberi lebih banyak keburukan. Orang ramai masih gemar memandu kenderaan sendiri daripada menggunakan pengangkutan awam. Hal ini menyebabkan penggunaan bahan api terus meningkat. Walau bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan pengguna atas pilihan tersebut. Jika mutu perkhidmatan awam baik bas, teksi dan kemudahan LRT dan komuter masih kurang memenuhi kehendak dan permintaan rakyat. Kita tidak boleh membandingkan dengan negara lain sekiranya ingin menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam. Contohnya, sistem pengangkutan awam di Singapura adalah cekap dan lengkap. Oleh itu, kenaikan harga barang memberikan impak yang sangat besar kepada kuasa beli masyarakat.

Selain kenaikan harga bahan keperluan yang membebankan masyarakat, terdapat kesan kenaikan harga lain kerana melibatkan sumber bahan bakar ini. Antaranya ialah industri perumahan yang mana mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak. Kos perkhidmatan yang membebankan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi kerana keperluan terhadap bahan bakar ini. Pengusaha khususnya golongan yang kurang mampu terpaksa menanggung bebanan kos yang tinggi seperti kenaikan kadar sewa dan cukai yang melampau bagi sesebuah premis perniagaan sehingga ada pemilik restoran yang terpaksa menutup restorannya ekoran daripada kenaikan kadar sewa tapak premis berkenaan. Bagi mengurangkan bebanan ini, peniaga terpaksa menaikkan harga barang yang dijual. Kesannya, tekanan harga yang tinggi ini terpaksa dihadapi oleh pengguna. Dalam keadaan sekarang, masyarakat perlu mengambil pendekatan berhemah untuk menguruskan kewangan mereka.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan anggota masyarakat di negara kita untuk menangani masalah ini. Antara langkah yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah menjalankan kempen jimat cermat dalam kalangan pengguna. Hal ini berlaku demikian kerana dengan melalui kempen samada melalui radio, tv mahupun akhbar, kerajaan boleh menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat. Di samping itu, kempen tersebut juga sekurang-kurangnya diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada para pengguna. Dengan cara itu, kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan lebih berkesan dalam kalangan pengguna.

Masyarakat yang juga merupakan pengguna terutama yang mempunyai tanah sendiri digalakkan untuk menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Sebenarnya, cadangan ini pernah dipraktikkan pada 1970an dengan rancangan Buku Hijau. Dengan cara ini, para pengguna tidak perlu membeli sayur-sayuran di pasar setiap hari. Contohnya, masyarakat boleh menanam sayur-sayuran yang mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam pasu seperti cili, kangkung, sawi, kunyit, serai, tomato dan sebagainya. Selain untuk kegunaan sendiri, sayur-sayuran itu juga boleh diberikan kepada jiran-jiran yang berhampiran. Sudah tentu tindakan ini akan menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung, cara ini juga boleh merapatkan hubungan sesama jiran dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni. Selain itu, cara ini juga boleh menjimatkan masa untuk membeli sayur-sayuran di pasar.

Pihak kerajaan hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Contohnya, mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kenaikan harga barang.

Kesimpulannya, kenaikan harga minyak secara langsung atau tidak langsung akan menyebabkan harga barang meningkat. Kenaikan harga barang yang tidak terkawal akan menyebabkan kekacauan dan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan politik yang mengancam keharmonian negara. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk membendung masalah kenaikan harga barangan keperluan dan mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini supaya masalah kenaikan harga barang dapat dikawal. Sebagai pengguna bijak kita perlu mengawal perbelanjaan seharian supaya kita tidak akan dibebani dengan kesan kenaikan harga minyak.


2 comments:

Followers

Kongsi Artikel

Contoh-contoh Karangan Bahasa Melayu SPM, Contoh Karangan Bahasa Melayu SPM Bahagian A dan Bahagian B.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

OWR NEWSLETTER

Contact Form

Name

Email *

Message *

Follow Kami di G+

Liked FB page kami

Follow Kami di Twitter

Google+ Followers

BAHASA MELAYU SPM KERTAS 2

Karangan Bahasa Melayu PMR

SIHAT SEPANJANG HAYAT

BM SPM K2

Popular Posts

Busuk News

5c97d641b2394fde3b4cfb15218c6c81d79cad23