Cara Membuat Rangka Karangan Yang Baik

Rangka karangan ialah skim atau rancangan isi-isi penting yang hendak dibincangkan dalam sesebuah karangan . Perbezaan di antara struktur karangan dan rangka karangan ialah struktur karangan menunjukkan susunan kedua-dua isi penting dan butir-butir keterangannya, sedangkan rangka karangan hanya menunjukkan susunan isi-isi penting sahaja.

Membuat rangka karangan ialah perancangan isi-isi karangan, sebagaimana pentingnya pelan bagi sebuah bangunan. Demikianlah pentingnya rangka bagi sebuah karangan . Adalah mustahil dapat kita menghasilkan sebuah karangan yang baik tanpa membuat rangkanya terlebih dahulu. Oleh itu perlulah kita menguasai teknik-teknik membuat rangka karangan .

Membuat rangka karangan, sebenarnya merancang isi-isi penting karangan. Ia melibatkan dua langkah, iaitu:
  • Mencari idea-idea yang hendak dibincangkan
  • Mengatur atau menyusun idea-idea itu secara logik sehingga menjadi sebuah rangka karangan.
Cara-cara mencari idea:

Apabila menghadapi sesebuah tajuk karangan, kita sering terasa sukar mencari “ sesuatu “ yang hendak dibincangkan. Lebih sukar lagi kalau tajuk karangan itu merupakan tajuk perbincangan yang bersifat umum seperti : Sebaran Am, Pilihan raya, Perusahaan Pelancungan dan sebagainya.

Kekeringan idea boleh diatasi dengan dua cara berikut:

Perhubungan fikiran ( association of ideas ).

ini bererti kita bermula dari satu idea berkenaan dengan tajuk karangan itu, ia kita terus menurun seberapa banyak mungkin , idea-idea lain yang berhubung dengan idea tadi, kemudian baharulah kita menyusun serta menggolongkan idea-idea itu menjadi sebuah rangka karangan seperti berikut:

Pangkal Idea: Sebaran Am.

Surat khabar, majalah, radio, filem, televisyen, isi kandunganya, peranan yang dimainkannya dalam masyarakat moden, penyebaran ilmu pengetahuan yang lebih luas dan tepat, alat hiburan, alat pendidikan, kesan-kesan buruknya penyebaran unsur-unsur tidak sihat, sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, alat sabotaj, kawalan perlukah?, kebebasan akhbar, akhbar asing dan tempatan mutunya….(dan seterusnya).
    • Berdasarkan idea di atas rangka karangan berikut disediakan :

      Sebaran Am.
      1. Jenis-jenis sebaran am – surat khabar, majalah, radio, TV, filem……….
      2. Peranan yang dimainkan oleh sebaran am dalam masyarakat moden- sebagai alat penyebaran pengetahuan, alat pendidikan, alat hiburan, alat perhubungan antara kerajaan dan rakyat, alat propaganda… )
      3. Kesan-kesan buruk dari sebaran am.-menyebarkan unsur-unsur kebudayaan liar, disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai alat sabotaj politik, penyebar fitnah negatif dan lain-lain.
      4. Kebebasan akhbar dan kawalan – kedua-duanya perlu.
    • Kebebesan mesti ada batasnya; kawalan mesti bersifat positif, iaitu untuk menjaga mutu sebaran am, tetapi tidak sampai menghalang kebebasan rakyat.

    • begitulah seterusnya.

    • Masa menyediakan rangka - 10 – 15 minit daripada keseluruhan masa peperiksaan.

      Masa keseluruhan peperiksaan: 3 jam (STPM) menulis karangan -  1 ½ jam. SPM - ( 90 minit - 15 minit ( rangka ), tinggal masa untuk menulis karangan ialah 75 minit.

    Penentuan sudut perbincangan:

    Tajuk karangan boleh dibincangkan dari berbagai sudut. Contohnya topik Sebaran Am di atas boleh dibincangkan dari segi jenisnya, peranannya, baik buruknya, pandangan orang terhadapnya dan lain-lain lagi.

    Penentuan sudut perbincangan memudahkan kita mencari sesuatu yang hendak dibincangkan. Apabila mendapat sesuatu tajuk karangan pelajar harus menentukan dari sudut apakah harus ia membicarakannya . Sudut – sudut yang penting diingat adalah seperti berikut:

    Asal usul dan perkembangan perkara yang hendak dibincangkan.
    1. Kedudukan perkara itu sekarang – meningkat, menurun/teruk? Mana buktinya, ke arah mana perkara itu berkembang? 
    2. Hubungan perkara itu dengan kehidupan manusia. Pentingkah perkara itu kerpada manusia? Apakah peranan yang dimainkannya? 
    3. Baik buruknya perkara itu?
      a. Jenis-jenis perkara itu – contohnya jenis dadah, kenderaan, senjata, sebaran am dan sebagainya.
      b. Pandangan dan layanan orang terhadap perkara itu (misalnya pandangan pro dan kontra, sambutan baik dan bantahan )
    Penulis boleh menulis semua aspek di atas atau dua tiga aspek yang dikira penting dewasa itu. Kalau sebaran am sekarang ini boleh dibincangkan tentang penggunaan internet, fax, telex, komputer, TV dan sebagainya.

    Bilangan sudut yang hendak disentuh itu biarlah bersesuaian dengan panjang karangan yang diarahkan.

    Latihan kemahiran berfikir dan peta minda juga boleh digunakan di dalam membuat rangka karangan bergantung kepada kemahiran calon itu sendiri.

    Pengenalan atau Pembukaan karangan:
    1. Ia merupakan perenggan permulaan digunakan untuk memperkenalkan tajuk itu secara khusus. Setiap karangan mesti mempunyai pengenalan ini dan ia hendaklah ringkas dan padat.
    2. Pengenalan itu merupakan beberapa ayat yang dapat merangkumi apa yang hendak anda sampaikan dalam karangan itu. Ia mungkin berupa definisi tajuk tersebut, perkara yang hendak anda sampaikan, atau suatu pendapat umum berkaitan dengan tajuk itu.
    3. Pengenalan itu hendaklah menggambarkan kematangan fikiran dan kefahaman anda tentang tajuk tersebut.
    4. Anda hendaklah menulis pengenalan yang dapat menarik perhatian pemeriksa dan sesuai dengan jenis karangan yang akan anda tulis.

    Paragraf ( Perenggan karangan)
    1. Satu isi penting yang dibincangkan , elok ditulis dalam satu paragraf.
    2. Banyaknya paragraf bergantung kepada banyaknya isi yang ada menurut kepentinganya.
    3. Isi yang paling penting diletakkan di dalam paragraf yang pertama dan yang kurang penting di paragraf yang akhir sekali

    Penutup Karangan:
    1. Setiap karangan perlu mempunyai penutup atau kesimpulan mengenai segala yang telah anda perkatakan atau merupakan kata putus terhadap pendapat yang telah anda kemukakan
    2. Anda perlu berhati-hati apabilamenulis perenggan penutup kerana ia membayangkan dengan jelas tentang sikap dan pandangan anda terhadap tajuk itu. Oleh itu penutup karangan hendaklah membawa kepada satu kesimpulan yang lembut tetapi berkesan.
    3. Di dalam bahagian ini anda perlu ingat supaya jangan mengulang isi-isi atau sebahagian daripada isi-isi yang telah anda kemukakan dahulu.

    Menyemak Karangan:

    Peringkat ini juga amat penting daripada peringkat yang terdahulu. Oleh kerana anda menulis karangan di dalam waktu yang terhad, sudah tentu terdapat banyak kesilapan yang perlu diperbetulkan.
    1. Semak karangan secara keseluruhannya, dari awal hingga akhir dan membaiki sebarang kesilapan sama ada dari segi tata bahasa, perbendaharaan kata dan ejaan
    2. Dengan cara sedemikian anda dapat mempersembahkan sebuah karangan yang memuaskan dan merupakan hasil kebolehan anda yang maksimum.
    3. Ingat, setiap kesalahan yang ditonjolkan akan dipotong markah seperti ejaan, ayat-ayat tatabahasa, format, urutan isi atau terkeluar terus dari tajuk yang dikemukakan.


    Post a Comment

    1 Comments
    * Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
    1. Tak kena apa yg orang mahukan... Saya nk rangka mcm pedhaluan isi penutup.. Bukannya tajuk..

      ReplyDelete

    Top Post Ad

    Below Post Ad